myDobi lebarkan sayap ke Labuan - buka cawangan pertama, kini 101 keseluruhan

Dari kiri : Hong, Ling, Teo dan Sheila bersama-sama memotong riben untuk merasmikan pembukaan cawangan MyDobi yang pertama di Labuan.

MIRI: Rangkaian dobi layan diri terkemuka, MyDobi, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama pilihan pelanggan di rantau ini apabila secara rasmi membuka cawangan pertama di Labuan, sekali gus menandakan pembukaan cawangan ke-101. 

Terletak di Lazenda Hillford, bersebelahan Sharetea dan berhampiran Petronas Jalan Pohon Batu, majlis perasmian yang berlangsung semalam (31 Julai) telah menggamit kehadiran para penduduk setempat dan pengunjung pulau ini.

Cawangan baharu ini adalah dimiliki dan diurus sepenuhnya oleh Soyya Hogan Sdn Bhd, yang menawarkan pelbagai kemudahan moden bagi memastikan keselesaan pelanggan.

Menyasarkan pengguna yang mengutamakan kemudahan dan kecekapan, ia dilengkapi dengan sistem transaksi tanpa tunai serta program kesetiaan menerusi aplikasi Hiro. 

Selain itu, para pelanggan juga menikmati penggunaan bahan kimia yang diperakui halal secara percuma, termasuk detergen, pembasmi kuman dan pelembut fabrik.

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap perkhidmatan berkualiti, MyDobi menyediakan khidmat pelanggan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, untuk membantu pelanggan pada bila-bila masa. Cawangan ini turut menempatkan 6 mesin basuh dan 12 mesin pengering bagi memenuhi permintaan harian.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pelanggan dan pelabur atas sokongan yang tidak berbelah bahagi selama ini. Sokongan anda menjadi pemangkin kepada kejayaan dan perkembangan jenama kami,” ujar Sheila Sim, pengasas dan juga ketua pegawai eksekutif MyDobi.

Tambahnya lagi, MyDobi amat berbangga kerana telah menerima dua pengiktirafan berprestij iaitu Superbrands dan Consumer Choice Awards (CCA), yang menjadi bukti kepada komitmen syarikat dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti, kepimpinan industri dan kepercayaan pelanggan.

Turut hadir pada majlis tersebut termasuklah pengarah MyDobi Hong Heng How, serta pemilik permis MyDobi Teo Ting Kuan dan Ling Sie Jen.

MyDobi yang baharu dibuka menawarkan perkhidmatan dobi layan diri dengan kemudahan moden.

Back to blog